Monday, January 30, 2023

Perkongsian Sepanjang Menjalankan Pengalaman Sekolah

  

Assalamualaikum dan hai semuaa😍😃 Blog kali ini adalah sedikit perkongsian berkenaan pengalamanku selama seminggu menjalankan pengalaman sekolah di SMK Taman Sea Petaling Jaya ataupun dulu terkenal dengan panggilan ROS dalam kalangan guru. Semoga anda semua enjoy dengan pembacaan kali ini😊😘

Pada hari Isnin iaitu bertarikh 05 Disember 2022, aku dan rakan-rakanku yang lain ditugaskan untuk melakukan pengalaman sekolah di sekolah masing-masing yang telah dipilih. Perasaan gemuruh dan teruja bercampur kerana ia merupakan pengalaman pertama menjejakkan kaki ke sekolah bukan sebagai seorang pelajar tetapi sebagai seorang bakal guru. Aku memilih Sekolah Menengah Kebangsaa Taman Sea yang terletak tidak jauh dari rumahku iaitu di sekitar Petaling Jaya. Sewaktu melangkahkan kaki ke sekolah tersebut aku mula berasa hairan kenapa tidak ramai pelajar berbangsa Melayu. Setelah berbual-bual dengan guru di sana aku diberitahu bahawa peratusan pelajar berbangsa Cina lebih ramai di sana iaitu sebanyak 80 peratus berbanding pelajar Melayu dan India. Hal ini kerana kawasan tersebut kebanyakannya didiami oleh penduduk bangsawan Cina maka tidak hairanlah mengapa ramai pelajar Cina di sana.

Hari pertama berlangsung dengan baik sepanjang aku dan rakan-rakanku berada disana. Kami disambut baik oleh Puan Jeehan iaitu Penolong Kanan Pentadbiran sewaktu melapor diri pada hari pertama. Beliau menerangkan selok belok sekolah tersebut dengan sangat terperinci. Kami dimasukkan ke dalam group whatsapp rasmi sekolah dan dari situ kami boleh mendapatkan maklumat berkaitan sekolah serta dapat melihat bagaimana interaksi antara guru secara maya. Seterusnya kami dibawa meninjau dan melihat seluruh kawasan sekolah oleh staf makmal yang sangat ramah. Walaupun pelajar-pelajar di sana terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan warna kulit tetapi mereka saling menghormati antara satu sama lain. Wujud persafahaman antara mereka walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum. Adab dan akhlak mereka terhadap guru-guru juga masih tinggi. Mereka akan menyapa dan memberi salam sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat apabila bertemu guru-guru di luar kelas.

Sepanjang di sana, aku berpeluang memantau sesi pembelajaran bersama guru pendamping. Dari situ baru aku faham bagaimana realiti kehidupan seorang guru apabila berhadapan dengan para pelajar yang mana sebelum ini aku hanya mempelajarinya secara teori sahaja dalam kuliah. Bukan mudah untuk mengawal kelas yang terdiri daripada pelbagai ragam pelajar tetapi dengan pengalaman serta ilmu yang ada pada seseorang guru itulah yang akan membuatkan sesi pembelajaran tersebut berjalan dengan lancar dan berkesan. Dalam kelas tersebut aku memerhatikan bahawa guru tersebut menggunakan komunikasi dua hala bersama pelajar yang mana pada awalnya beliau memulakan dengan set induksi untuk menarik minat pelajar mengikuti kelasnya dengan bertanya khabar dan menyelitkannya dengan bertanya tentang isu-isu semasa seperti world cup. Kelas diteruskan dengan aktiviti kuiz untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari sebelum ini memandangkan tarikh peperiksaan sudah dekat. Aku melihat para pelajar kelas tersebut sangat aktif dan teruja mengikuti aktiviti kuiz yang diadakan. Kelas tersebut berjalan dengan lancar dan objektif pada hari itu juga dapat dicapai kerana pada akhirnya para pelajar dapat memahami serta menumpukan perhatian sepenuhnya sepanjang pdp.

Sepanjang pengalamanku selama beberapa hari di sana, aku dapat melihat bagaimana besarnya tanggungjawab seorang guru apabila berada di sekolah dalam memastikan para pelajar faham apa yang telah mereka pelajari. Selain itu tugas guru bukan mudah iaitu bukan hanya mengajar subjek di bawah pengkhususannya sahaja tetapi mereka juga perlu mempunyai pengetahuan yang luas, menjaga kebajikan para pelajarnya dan menerapkan nilai-nilai murni serta adab dalam diri para pelajar supaya nilai-nilai baik seperti budaya memberi salam, berterima kasih dapat dipupuk dari awal sejak di sekolah. Hal ini kerana para pelajar banyak menghabiskan masa mereka di sekolah berbanding di rumah jadi ia merupakan tanggungjawab besar para guru untuk membentuk peribadi yang baik dalam kalangan pelajar selepas ibu bapa mereka di rumah.

Akhir kata, jika aku diberi peluang untuk menjadi seorang guru pada suatu hari nanti, aku akan cuba mempraktikkan apa yang telah dipelajari sepanjang pengalamanku berada di sekolah dan di dalam kuliah sebelum ini. Banyak perkara yang telah aku pelajari daripada pentadbiran, guru-guru serta warga sekolah di sana iaitu tentang bagaimana cara kita bersosial dengan para pelajar dan warga sekolah yang lain di sana. Aku juga melihat ilmu merupakan sesuatu yang sangat penting yang perlu ada dalam diri pendidik kerana tanpa ilmu yang mencukupi hilanglah rasa hormat pelajar terhadap gurunya. Oleh itu aku akan cuba menggali seberapa banyak ilmu berkaitan pendidikan, pedagogi dan sebagainya sepanjang pengajianku di Universiti Malaya supaya ia dapat dipratikkan dengan baik pada masa akan datang











.


No comments:

Post a Comment

PERLAKSANAAN PLICKERS BERSAMA RAKAN-RAKAN _last class_

Assalamualaikum semuaaa.. semoga berada dalam keadaan baik semuanyaa😊😘 Perasaan saya pada kelas kali ini bercampur baur dan tak boleh nak ...